Senaman Kacip Fatimah
Pada zaman dahulu, wanita-wanita yang mengambil berat untuk menjaga kelangsingan badan dan kesuburan serta mutu anggota mereka mengamalkan berbagai petua termasuklah menjaga makan dan bersenam di waktu pagi. Terdapat gerakan-gerakan senaman yang cukup baik untuk wanita dan biasanya ia diamalkan di waktu pagi selepas bangun tidur. Kepentingan melakukan senaman ini kepada seiap wanita akan meningkat terutamanya apabila badan merasa lemah-lemah dan umur semakin meningkat.
Semasa tidur, sebanyak 30 hingga 50 peratus darah kembali ke hati dan pankreas. Keadaan ini membahayakan kesihatan dan ia menjadi sebab mengapa ‘stroke’ kerap menyerang pada awal pagi, dan ini berpunca dari bangun pagi secara tergesa-gesa dan gopoh-gapah tanpa memberi peluang kepada tubuh untuk jadi cukup bersedia.
Saya telah berpeluang belajar Senaman Kacip Fatimah untuk wanita dari seorang tukang urut yang berasal dari Yong Peng, Johor. Beliau pergi mengurut ke merata tempat dan akan mengajarkan kepada wanita-wanita yang diurutnya itu gerakan-gerakan senaman ini. Gerakan senaman yang beliau ajarkan adalah serupa dengan gerakan yang diajarkan oleh seorang lagi wanita Melayu yang berasal dari Johor Bahru, menunjukkan bahawa gerakan senaman ini adalah satu ilmu yang tua.
Berdasarkan rujukan-rujukan saya terhadap senaman tradisi India dan Cina, didapati bahawa banyak dari gerakan Senaman Kacip Fatimah ini unik, walaupun terdapat sedikit sebanyak persamaan di sana sini. Pada saya, gerakan-gerakan senaman ini adalah amat bernilai sebagai khazanah bangsa Melayu dan patut diketahui oleh generasi yang kemudian.





