Petua Orang Melayu vs Kepercayaan Karut Orang Melayu

Kepercayaan Karut Melayu

Kepercayaan Karut Melayu

Kebanyakan “kepercayaan melayu” dianggap tidak logik oleh generasi Melayu muda. Lalu, dinamakan “kepercayaan karut”. Bagaimanapun, jika diteliti, akan nampak bahawa sesungguhnya terdapat alasan yang logik di sebalik setiap kepercayaan.

Tiada Bukti Saintifik

Kepercayaan yang menjadi amalan dalam masyarakat Melayu juga sukar dibuktikan secara saintifik. Apa yang dimaksudkan di sini bukanlah bahawa “amalan” itu tidak ada alasan saintifik. Sebaliknya “kepercayaan (karut)” di sebalik amalan itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

Sebagai contoh, masyarakat Melayu percaya bahawa sekiranya pensel diasah pada kedua-dua belah, maka ibu dan bapa dalam keluarga berkenaan akan sentiasa bergaduh. Atau kepercayaan bahawa perbuatan bersiul pada waktu malam akan mengudang ular masuk ke dalam rumah.

Tentu sekali “kepercayaan” ini tidak dapat dibuktikan menggunakan teori sains! Sebab itulah juga generasi muda – atau kelompok yang menganggap diri mereka sudah “moden” – ketara menganggap segala ini sebagai “kepercayaan karut”.

Penjelasan Logik

Penjelasan yang logik juga dapat dikemukakan bagi setiap amalan dan kepercayaan dalam masyarakat Melayu Malaysia. Malangnya, generasi Melayu tua telah melakukan kesilapan yang amat besar dengan tidak menerangkan “alasan rasional” ini kepada anak-cucu.

Orang tua Melayu biasanya hanya menceritakan kepercayaan (misalnya, jangan bersiul pada waktu malam) serta cerita yang menakutkan (misalnya, ular akan masuk ke dalam rumah). Mereka tidak akan menerangkan alasan rasional (misalnya, mengganggu orang yang mahu tidur atau berehat).

Lama-kelamaan, apabila kepercayaan itu disampaikan pula oleh generasi tua kepada generasi terkemudian, yang tinggal hanyalah “cerita yang menakutkan”.

Maka tidak salah jika generasi muda yang berfikiran moden menganggap segala kepercayaan dalam masyarakat Melayu sebagai “karut” dan tidak boleh diterima akal rasional. Rata-rata mereka menolak kepercayaan dan amalan dalam masyarakat Melayu kerana dikatakan tiada penjelasan saintifik serta tidak ada bukti terhadap “cerita yang menakutkan” itu.

Blog Widget by LinkWithin